Tuesday, November 10, 2009

Zakat Emas

Assalamualaikum.

Kali ini kita bercerita tentang zakat emas yang anda simpan atau pakai.

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia diwajibkan ke atas tiap-tiap orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Zakat diwajibkan ke atas Muslim yang layak untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan bantuan. Zakat mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah termasuklah zakat emas.

Emas adalah logam yang diwajibkan zakat. Kewajipan zakat ke atas emas ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:

“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”. At-Taubah: ayat 34-35

Zakat emas dikira dalam dua keadaan.

1. Emas yang tidak dipakai (disimpan)

Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

contoh:

2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
Contoh : RM10,200 x 2.5%
Jumlah zakat = RM 255

2. Emas yang dipakai

Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ianya melebihi ‘uruf’ (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.

Majlis Agama Islam Melaka menetapkan kadar uruf adalah 120 gram emas.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula menetapkan kadar uruf adalah 150 gram emas.
Jumlah kadar uruf adalah bergantung kepada penetapan negeri masing2. Ia tiada penetapan kadar yang tetap. Tuan-tuan boleh rujuk di pusat zakat negeri masing2.

contoh:

Berat Emas yang dipakai = 250 gram
Uruf Emas = 120gram

Berat Emas yang layak dizakat = 250 gram - 120 gram = 130gram
Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (130 gram x harga semasa)
= 2.5% x (130 gram x RM120)
= RM 390 (ni jer jumlah yang perlu dibayar zakat)

Seseorang boleh membayar zakat yang tertunggak dari tahun-tahun yang lepas dan dikenali sebagai Qadha Zakat. Kadarnya tetap sama iaitu 2.5% dan tiada sebarang denda atau penalti dikenakan.

No comments: